Selamat Tahun Baharu Cina 2020. Tahun Tikus

Tahun Baharu Cina (Cina ringkas: 春节; Cina tradisional: 春節; pinyin: Chūn Jié) merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. (Lihat Tarikh perayaan di bawah.)

Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baharu. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baharu dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baharu Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang angpau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baharu Cina, perayaan Tahun Baharu Cina ditamatkan dengan perayaan Cap Goh Mei.

Tahun Baharu Cina disambut di negara-negara dan wilayah-wilayah yang diduduki oleh ramai orang Cina, seperti China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina, Singapura,[1] Taiwan, Thailand, dan juga di pekan cina di merata dunia. Tahun Baharu Cina juga disambut di tempat-tempat yang kuat dipengaruhi dengan budaya Cina (termasuk memakai takwim qamari Cina), termasuk Korea (Seollal), Tibet dan Bhutan (Losar), Mongolia (Tsagaan Sar), Vietnam (Tết), dan Jepun hingga tahun 1873 (Oshogatsu).