Maulidur Rasul (Arab: kelahiran Rasul) atau Maulud Nabi Muhammad SAW ialah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad.
Muhammad bin Abdullah merupakan nabi dan rasul yang terakhir bagi umat Islam. Lebih dikenali sebagai Muhammad (Arab/Jawi: محمد) atau Nabi Muhammad (Arab/Jawi: نبي محمد), baginda juga adalah pemimpin yang menyatukan Semenanjung Arab kepada satu tatanegara di bawah pemerintahan Islam. Muhammad dianggap oleh umat Islam sebagai pemulih keimanan monoteistik ajaran nabi-nabi terdahulu yang dibawa oleh Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan nabi-nabi yang lain.
Dilahirkan di Makkah, Semenanjung Arab, baginda adalah anak yatim piatu sejak kecil lagi dimana baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muttalib bin Hasyim dan seterusnya bapa saudara baginda, Abu Talib bin Abdul Muttalib. Baginda juga pernah bekerja sebagai pengembala kambing dan saudagar serta perkahwinan pertamanya adalah ketika berusia 25 tahun dimana baginda telah bernikah dengan Khadijah binti Khuwailid (40 tahun). Ketika Muhammad berumur 40 tahun, baginda telah menerima wahyu yang pertama daripada Tuhan melalui malaikat Jibril ketika sedang berada di Gua Hira. Tiga tahun setelah kejadian itu, baginda mula berdakwah secara terbuka kepada penduduk Makkah dengan mengatakan “Tuhan itu Esa” dan hendaklah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah (secara harfiahnya membawa maksud Islam) dan ia adalah satu cara hidup (الدين ad-Din) yang diterima Allah sahaja.
Muhammad menerima beberapa orang pengikut pada awalnya yang terdiri daripada pelbagai golongan. Ajaran yang dibawa oleh baginda mendapat tentangan yang hebat dalam kalangan penduduk Makkah malahan mereka dilayan dengan teruk dan zalim. Oleh itu, Muhammad telah menghantar beberapa orang pengikutnya ke Habsyah pada 614 M sebelum baginda dan pengikutnya lain di Makkah berhijrah ke Madinah (dahulu dikenali sebagai Yathrib) pada tahun 622 M. Peristiwa penghijrahan Muhammad itu menandakan permulaan bagi kalendar Islam atau takwim Hijrah. Di Madinah, Muhammad telah menyatukan semua suku kaum dibawah Piagam Madinah. Setelah bersengketa dengan penduduk Makkah selama 8 tahun, baginda membawa 10,000 pengikutnya ke Makkah serta membukanya. Muhammad dan para pengikutnya telah memusnahkan patung berhala yang terdapat di Makkah. Pada tahun 632 M, beberapa bulan selepas peristiwa Haji Wida atau Haji Perpisahan, Muhammad telah jatuh sakit lalu wafat. Ketika kematiannya, hampir seluruh Semenanjung Arab berada di bawah naungan Islam dan bersatu dengan tatanegara Islam.
Penting: Bilakah kelahiran Rasulullah saw?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang
Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Di antara cuti umum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia ialah pada 12hb. Rabiul Awwal kerana ia dianggap sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul).
Pihak Darul Quraan Was Sunnah berasa bertanggungjawab untuk membincangkan persoalan ini demi memperbetulkan tarikh lahir Baginda SAW yang ditetapkan sebagai cuti umum itu kerana tidak ada ertinya kita merayakan sesuatu hari jika ia tidak menepati hari yang dimaksudkan itu dengan tepatnya. Apalagi kalau diterima juga tarikh wafat Nabi SAW sebagaimana dipercayai umum pada 12hb. Rabiul Awwal.
Keadaan ini tentunya menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi SAW dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi SAW. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungan-nya?
Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi SAW berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jld. 2, hal. 144)
Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi SAW dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya.
Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa’i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, “Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu’tazilah.”
Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, “Dia seorang dajjal”. (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jld. 3, hal. 468-475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.
Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb. Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin ‘Aini. (Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261).
Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi SAW hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya.
Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:
- Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah SAW iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad SAW ketika itu berusia 63 tahun.
- Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.
- Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi SAW jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.
- Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi SAW, walau-bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal.
Mereka hanya berselisih tentang tarikh di antara 8 hingga 12 haribulan dalam bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas. Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin (hal. 6), Safiyyul Rahman Al Mubarakpuri di dalam Ar Rahiqul Makhtum (hal. 54), ‘Allamah Sibli Nu’mani di dalam Siratun Nabi (jld. 1, hal. 176), Maulana Abul Kalam Azad di dalam Rasul Rahmat (hal. 37) dan lain-lain.
Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad SAW pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan dihadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:
- Tahun kewafatan Baginda SAW ialah 11H.
- Dalam bulan Rabiul Awwal.
- Antara 1hb. hingga 12hb.
- Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52).
- Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).
- Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).
Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda SAW seperti berikut:
- Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.
- Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabiul Awwal.
Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M
Berdasarkan fakta-fakta yang telah kami kemukakan, pihak kami berharap agar ketetapan hari lahir Nabi Muhammad SAW yang ditentukan sebagai hari cuti umum itu dikaji dan diubah kepada tarikhnya yang sebenar kerana amatlah malang dan memalukan sekali kita orang-orang Islam jika kita merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi SAW padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.
(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)