P3

Selamat Menyambut Tahun Baharu HIJRAH

Diucapkan selamat menyambut tahun baharu HIJRAH.

Istilah HIJRAH merujuk kepada perjalanan yang diambil oleh umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622 Masihi dari Makkah ke Madinah.

Tujuan penghijrahan ini adalah untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman orang Arab Quraisy telah menjejaskan aktiviti penyebaran ajaran Islam. Hijrah merupakan satu strategi Nabi Muhammad s.a.w untuk mengembangkan Islam dengan aman.

Hijrah membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan. Perjalanan sejauh 320 km ini mengambil masa 8 hari.

SEJARAH KALENDAR ISLAM / KALENDAR HIJRAH

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah ialah hasil daripada ilham Khulafa Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Sayidina Umar Al-Khattab r.a. Ini turutan daripada Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asya’ari telah mengirimkan surat kepada Sayidina Umar r.a. minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a.) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Dalam kalangan bangsa Arab sendiri pun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Parsi, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasulullah SAW untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / takwim Islam.

Peristiwa tersebut ialah peristiwa hijrah Rasullullah SAW dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada Rasul-Nya dan agama Islam ditegakkan. Hasil daripada itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil daripada pilihan Umar itu.

Antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan daripada Empayar Rom dan Masjid Al-Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Parsi dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah sebagai Kalendar / Takwim Islam yang rasmi.

Sumber: Wikipedia

Admin