GULA memudaratkan kesihatan. Gula itu racun. Gula penyebab pelbagai penyakit kronik. Ini antara perkara negatif yang dikaitkan dengan gula. Malah pepatah Melayu ada juga menyebut mati semut kerana gula.

MASIH RAMAI TIDAK PEDULI BAHAYA GULA

Namun, di sebalik impak negatif yang dikaitkan dengan pengambilan gula secara berlebihan, adalah jelas sesetengah pengguna di negara ini masih tidak mahu mengambil peduli bahaya yang disebabkan oleh gula.

Kepada mereka, kesihatan mungkin bukan isu utama dalam kehidupan mereka. Peringatan atau nasihat baik daripada pakar pemakanan atau perubatan bak masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Mahu tidak mahu gula pasir menjadi sebahagian daripada kehidupan masa kini sehinggakan ada yang seperti tidak boleh hidup tanpa bahan pemanis itu.

Menurut Ensiklopedia bebas, Wikipedia, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan gula ialah tebu kuning dan tebu hitam.

Dilaporkan kira-kira 107 buah negara menanam tebu untuk menghasilkan sekitar 1,324 juta tan gula. Negara pengeluar terbesar gula, mengikut Wikipedia ialah Brazil, India, China dan Pakistan.

Batang tebu yang tebal menyimpan sukrosa. Secara ringkasnya, gula dihasilkan daripada air tebu yang kaya dengan sukrosa.

MANIS YANG MEMBAHAYAKAN

Rasa gula sememangnya manis tetapi di sebalik kemanisan itu ia sebenarnya mengundang bahaya. Pada tahun 1929, Sir Frederick Banting, individu yang menemui insulin iaitu hormon utama mengawal metabolisme glukos dalam tubuh manusia mendapati, diabetes adalah penyakit lazim di kalangan pemilik ladang tebu warga asing di Panama sementara pemotong tebu yang terdiri daripada penduduk peribumi Panama tidak menghidap penyakit kronik itu.

Sebabnya? Pemilik ladang tebu mengambil gula putih halus yang dihasilkan daripada tebu pada kadar yang banyak sedangkan pemotong tebu sekadar mengunyah keratan tebu. Impak negatif gula putih turut ditekankan oleh pakar pemakanan dunia yang tersohor, Dr. William Coda Martin.

Pada tahun 1957, beliau tampil mengklasifikasikan gula putih halus sebagai racun. Martin membuat takrifan itu daripada segi perubatan kerana gula merupakan antara bahan yang jika di aplikasi ke tubuh, ditelan atau diproses di dalam tubuh akan menyebabkan atau mungkin menyebabkan penyakit.

Beliau turut mengklasifikasikan gula sebagai racun kerana kandungan vitamin dan galiannya rendah. Apa yang tinggal hanyalah karbohidrat tulen.

Gula akan melahap vitamin dan galian yang berharga daripada tubuh manusia untuk tujuan pencernaan dan detoksifikasi.

PENINGKATAN MUDARAT DAN PUNCA PENYAKIT BERBAHAYA

Pengambilan gula setiap hari juga dilaporkan menghasilkan keadaan lebihan asid dan galian di dalam tubuh dan ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan.

Selain gula pasir dan gula perang sebagai bahan pemanis, terdapat bahan pemanis lain seperti madu dan sirap maple serta gula yang tidak dapat dilihat.

Pakar pemakanan tempatan, Mary Easaw John menjelaskan bahawa gula yang tersembunyi boleh ditemui di dalam roti, aiskrim, coklat, pastri, pai dan kuih-muih.

“Untuk membuat roti, ia memerlukan yis atau ragi. Bahan ini pula memerlukan gula untuk mengaktifkannya dan memastikan roti menjadi,” katanya. Jeli dan jem juga mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Sebagai contoh, 60 peratus kandungan jem adalah gula. Sepotong kuih pula, katanya, mengandungi setengah sudu teh gula, sementara minuman berkarbonat pula mengandungi lapan hingga sembilan sudu teh gula.

Justeru, kita sebenarnya tidak memerlukan gula pasir halus dalam kehidupan harian. “Apa yang perlu ialah mendidik cita rasa kita. Kalau hendak pun mengambil gula pasir, enam atau tujuh sudu teh gula pasir halus sudah memadai. Ini termasuk gula yang tersembunyi seperti dalam kek dan manisan yang lain.

“Gula yang berlebihan dalam tubuh manusia akan disimpan sebagai lemak.

“Ini berbeza jika kita makan sayur atau buah-buahan, ada galian dan vitamin dan ia tidak disimpan dengan cara begitu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati apabila mahu membeli makanan yang sudah diproses.

“Ambil sedikit masa untuk teliti label makanan. Periksa kandungan lemak dan gula,” kata Easaw John.

Sebuah agensi berita Barat baru-baru ini melaporkan, makanan ringan menjadi punca ledakan penyakit diabetes di rantau Asia Tenggara.

Kajian mendapati, kira-kira 11 peratus lelaki dan 12 peratus wanita di bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam, tanpa mereka sedar menghidap diabetes Jenis 2, tidak termasuk empat peratus rakyat negara itu yang disahkan sebagai pesakit diabetes.

Diabetes Jenis 2, paling lazim disebabkan paras lemak dan gula yang tinggi dalam pemakanan di samping kurang senaman. Ia boleh menyebabkan kegagalan ginjal dan penyakit jantung. Di peringkat global, Persekutuan Diabetes Antarabangsa menganggarkan menjelang tahun 2025 seramai 147 juta orang penghidap diabetes berusia 60 tahun atau lebih.

Statistik negara turut menunjukkan peningkatan dalam jumlah penghidap diabetes. Pada tahun 2009, sebanyak 17 peratus daripada 27 juta penduduk menghidap diabetes sementara data tahun 2006 pula menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obes.

Apakah kita mahu terus menikmati kemanisan gula dan menjadi penderita penyakit diabetes atau penyakit kronik lain terutama pada usia senja kita?

Sumber: BERNAMA

BAGAIMANA GULA BOLEH MENJEJASKAN KESIHATAN?

Gula putih menyekat sistem imun. Didapati gula putih boleh mengurangkan hayat dan jumlah sel darah putih yang menjadi ejen utama kepada sistem imun kita untuk menghalang jangkitan atau kemasukan benda asing ke dalam badan. Ada yang mengatakan gula juga membuatkan badan kita bersifat asid yang menyebabkan kita lebih mudah diserang bakteria dan virus. Malah, gula juga menjadi makanan utama kepada bakteria dan fungus jika berlaku jangkitan.

Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik. Maknanya, ia menyebabkan paras gula darah meningkat cepat dan menjejaskan paras insulin. Maka ia dianggap makanan terlarang, terutama bagi pesakit kencing manis, kerana ia menyukarkan kawalan paras gula darah.

Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser. Walaupun kebanyakan doktor tidak mengenakan pantang larang makanan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan, mengawal kandungan gula dalam darah membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit.

Kawalan paras gula dalam darah melalui penjagaan makanan, senaman, makanan tambahan dan ubat antara komponen penting dalam rawatan kanser.

Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan. Masalah dihadapi kebanyakan orang ialah mempunyai bekalan tenaga harian berlebihan daripada makanan dan minuman. Walaupun semua orang tahu bersenam itu penting bagi membakar (menggunakan tenaga), masih ada yang liat mengamalkannya. Tenaga yang berlebihan, ditambah pula tenaga daripada gula dalam minuman, turut menyumbang kepada pertambahan berat badan.

Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi seperti kerap dialami kanak-kanak. Bakteria dalam mulut menggunakan gula ini untuk menjadikan keadaan mulut lebih berasid bagi memecahkan lapisan enamel (lapisan gigi paling luar). Lama kelamaan, gigi akan berlubang. Apabila ini terjadi, banyak masalah lain menyusul, termasuk sakit gigi, jangkitan dan kehilangan gigi.

Tabiat makan yang terlalu kerap juga perlu dihentikan. Ini kerana apabila kita makan (khususnya makanan mengandungi karbohidrat), ia meningkatkan kemungkinan pereputan gigi kerana air liur lebih banyak digunakan untuk menghancurkan makanan, sedangkan air liur penting bagi meneutralkan tahap keasidan mulut.

Dalam kajian lain mendapati, masalah kesihatan gigi boleh menjadi penyumbang langsung kepada masalah jantung. Untuk mengelak masalah kesihatan yang lebih serius, kurangkan pengambilan gula dalam makanan harian.

GULA DAN KENCING MANIS

Kencing manis adalah penyakit zaman moden paling nyata dan menjadi punca kematian kelima tertinggi di dunia. Dianggarkan satu kematian berlaku dalam setiap 10 saat akibat kencing manis. diabetes

Komplikasi kencing manis boleh dibahagi kepada dua iaitu :

1) Mikrovaskular (membabitkan kerosakan salur kecil) seperti kerosakan mata dipanggil retinopati diabetes yang mengakibatkan pesakit hilang penglihatan, kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf kaki dan meningkatkan risiko kaki dipotong.

2) Makrovaskular (membabitkan salur darah besar) lebih mudah berlaku pada kadar 4 kali lebih tinggi berbanding komplikasi mikrovaskular. Kencing manis boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, penyakit vaskular periferal (PVD iaitu salur darah besar pada kaki).

Pecahan komplikasi kencing manis :

**55% kematian kerana komplikasi jantung

**13% kes kematian kerana paras gula tidak terkawal

**13% kes kematian kerana kanser

**19% kes kematian kerana lain-lain penyakit

Perkara pertama perlu dilakukan untuk mengelak komplikasi ialah mengawal paras gula dan tekanan darah. Bagaimanapun, pesakit kencing manis yang turut mengalami masalah tekanan darah tinggi sukar mencapai paras gula dan tekanan darah yang disasarkan (selamat).